Sahabat JapenPk

Rabu, 31 Disember 2008

Isnin, 29 Disember 2008

Tunku Muhriz dimasyhur Yang Dipertuan Besar yang baru




Tuanku Besar Seri Menanti, Tunku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah di masyhur kan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11.

Pemasyhuran tersebut berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti pada kira-kira jam 3.50 petang ini.

Pemasyhuran itu dibuat oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, dan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Tunku Muhriz, 59, dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, berikutan kemangkatan Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman Sabtu lalu.

Tunku Muhriz dipilih daripada empat orang calon. Tiga lagi ialah Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar, Tuanku Muda Serting Tuanku Imran Tuanku Ja'afar and Tuanku Panglima Besar Tuanku Putera Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.

Baginda merupakan satu-satunya putera kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman (1960-1967).

Tuanku Muhriz merupakan calon Yang Dipertuan Besar bagi menggantikan ayahandanya , selain Almarhum Tuanku Ja’afar dan Tuanku Abdullah, namun baginda tidak dipilih atas alasan usia yang terlalu muda ketika itu iaitu 18 tahun.

Pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.

Pemilihan itu adalah mengikut garis panduan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Sementara itu, istiadat pemakaman jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman akan dijalankan selepas solat Asar hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah King George V, Seremban dan meneruskan pengajiannya di Aldenhem School, United Kingdom.

Tuanku Muhriz memperoleh Sarjana Muda Undang-undang dari University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom.

Tuanku Muhriz merupakan putera tunggal daripada enam putera serta puteri Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Ampuan Durah Binti Tuanku Besar Burhanuddin.

Tuanku Muhriz mendirikan rumahtangga dengan Tengku Datuk Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dari Terengganu dan mempunyai tiga putera iaitu Tuanku Ali Redhauddin Muhriz, 31, Tunku Zain Al-‘Abidin Muhriz, 26, dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, 23.

Pada 1967, Tuanku Ja'afar yang juga ayahanda saudara tiri Tuanku Muhriz, dilantik oleh Undang sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, memandangkan usia Tuanku Muhriz yang masih muda pada ketika itu, selepas kemangkatan ayahanda baginda, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman.

Tuanku Muhriz adalah seorang ahli perniagaan dan pengarah Bangkok Bank.

Sabtu, 27 Disember 2008

UCAPAN TAHUN BARU DRP KETUA PENGARAH

SELAMAT TAHUN BARU 2009

December 27, 2008 · Print This Article

Assalamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera,

Dengan penuh rasa kesyukuran saya mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1430 dan tahun baru 2009 kepada seluruh warga kerja Kementerian Penerangan Malaysia, khususnya kepada warga kerja Jabatan Penerangan Malaysia.

Sempena dengan ketibaan tahun baru ini, marilah kita sama-sama berazam untuk untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia dengan lebih pantas, cekap dan berkesan.

Sebagai warga kerja yang berperanan menjadi agen perubahan dan jurucakap kepada kerajaan, kita mestilah memastikan sistem penyampaian kepada rakyat menjadi lebih cekap, tepat dan berkesan, agar rakyat memperolehi maklumat yang sahih dan berintegriti.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita berazam untuk memastikan Negara terus berada dilandasan terbaik dari tahun sebelumnya. Kita jadikan segala pengalaman sepanjang tahun 2008 sebagai pengajaran dan kita buka lembaran baru di tahun 2009 dengan tekad dan hasrat untuk memastikan Negara Malaysia tercinta ini terus cemerlang, gemilang dan terbilang diarena antarabangsa.

Marilah kita sama-sama berdoa, moga tahun 2009 akan lebih baik bagi kita semua berbanding tahun 2008.

Terima kasih.

Sembah Takziah



Patik merafak sembah dengan sedih menyembahkan ucapan takziah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Negeri Sembilan,Tuanku Najihah Binti Tuanku Burhanuddin dan semua kerabat DiRaja Negeri Sembilan di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 27 Disember 2008. Semoga Allah SWT merahmati roh Almarhum, Al-Fatihah.

Rabu, 24 Disember 2008

IJN TAK JADI SWASTA


Keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam kes penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) menerima sokongan masyarakat luar bandar. Kerajaan akan mengkaji isu penswastaan IJN supaya pelaksanaannya tidak menjejaskan kepentingan ramai. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato Seri Najib Tun Razak agar kes ini ditangguh dan perlu dibincangkan dalam Kabinet disambut baik di kalangan masyarakat yang berpendapatan rendah.

Mereka mengalu-alukan tindakan tersebut dan berharap IJN tidak diswastakan kerana IJN adalah tempat berubat masyarakat berpendapatan rendah. IJN diwujudkan Kerajaan untuk meringankan bebanan penduduk Malaysia yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan rawatan terbaik.

Khamis, 18 Disember 2008

"Taman Angkat" Komuniti Bestari Mukim Chenderiang


Pentadbiran daerah Batang Padang yang diketuai oleh Pegawai Daerah, YBhg Dato' Hj Md Damiri bin Md Sairi telah sudi mengistiharkan bahawa Taman Tasek Temoh yang terletak di Kg.Batu Masjid, 5km dari Tapah sebagai Taman Angkat kepada Komuniti Bestari (KB) Mukim Chenderiang. Hari bersejarah itu berlangsung jam 9.30 pagi pada 16 November 2008 dalam satu majlis berwarna-warni serta dihadiri kira-kira 5000 pengunjung termasuk ahli-ahli KB seluruh Perak.

Pengarah Penerangan Perak, Hj Abdullah Mohd Ariff dalam ucapan aluan menyifatkan bahawa pengistiharan tersebut melambangkan kepercayaan dan keyakinan Pegawai Daerah terhadap kemampuan, kesungguhan serta komitmen KB Mukim Chenderiang terhadap aspek penyelenggaraan
Taman Tasek Temoh. Sekaligus menggambarkan bahawa kewujudan KB yang dikelolakan oleh Jabatan Penerangan di sesuatu mukim itu telah mendapat tempat di hati pentadbiran daerah.

Kemajuan Komuniti Bestari Perak

Justeru pada hari yang bersejarah bagi perkembangan dan kemajuan KB di Perak, Urus Setia Komuniti Bestari Negeri dan Pejabat Penerangan Daerah Batang Padang, Tapah telah mengadakan program
Perhimpunan Keluarga Komuniti Bestari Negeri Perak dengan agensi Kerajaan / swasta secara bersepadu serta dikelolakan beberapa KB di daerah Batang Padang. Selain pameran Rukun Negara Jabatan, 15 agensi kerajaan turut mengadakan pameran, 10 buah KB memasar dan mempamerkan produk masing-masing serta pihak swasta mengambil bahagian mengadakan "grand-sale".
Program ini turut dimeriahkan dengan beberapa acara seperti Sukan Air (kelolaan Pejabat Belia dan Persatuan Rekreasi Tapah), Sukan Rakyat (KB Tapah), Pertandingan Memasak Ikan Sungai (Jabatan KEMAS), Pertandingan Gubahan (KB Chenderiang), Sukan Kanak-kanak, Mewarna dan Pakaian Beragam (KB Bidor), Pertandingan Memancing (KB Tapah), Senamrobik (KB Sg. Klah), Sepak Raga Tuju, Pertandingan Karaoke Lagu Patriotik, Teka Biji Betik dan Kenduri Kampung (Kg. Batu Masjid).

Pohon Kenangan

Program sehari suntuk itu diserikan dengan perasmian pluq peristiharan "Taman Angkat" oleh YBhg. Dato' Md Damiri serta diikuti menanam empat batang
pohon kenangan iaitu pokok nangka yang menjadi trade-mark Kg. Batu Masjid. Pohon-pohon kenangan itu ditanam-rasmi oleh Pegawai Daerah, Pengarah Penerangan Negeri, ADUN Ayer Kuning, YB. Dato' Shamsudin serta ADUN Chenderiang, YB Dr Mah.

Seniman Kampung

Pada 15 November 2008 penduduk-penduduk Kg Batu Masjid (dalam Mukim Chenderiang) telah bergotong-royong menyembelih seekor kerbau balar dan malamnya petugas serta krew PENTARAMA dijamu dengan sop tulang sambil menyaksikan persembahan PENTARAMA yang menerima sambutan hangat daripada lebih 1000 orang penonton. Kegembiraan penduduk tempatan jelas terbayang apabila empat orang "seniman kampung" turut mendendangkan lagu-lagu pop 60-an iringan pancaragam PENTARAMA.
Penduduk kampung mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Timbalan Ketua Pengarah Penerangan, YBhg. Dato' Hj Selamat Sukimi kerana membenarkan PENTARAMA berkunjung ke kampung mereka buat pertama kali dalam sejarah.



Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Setia




Buat julung kalinya Jabatan Penerangan Perak berjaya melaksanakan program baru yang dikenali sebagai Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Setia (PSRNKS) bagi peringkat negeri. Pertandingan ini telah dilangsungkan pada 23 Oktober 2008 jam 9.00 pagi di Dewan SMK King Edward VII, Taiping, Perak. Program ini mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pelajaran Negeri serta sekolah-sekolah menengah yang mempunyai Kelab Setia.
Tujuan program untuk mendidik pelajar menengah menghayati falsafah Rukun Negara serta menyemaikan semangat cintakan negara.

Sketsa ialah drama sebabak

PSRNKS ini termasuk dalam pakej "Kempen Penghayatan Rukun Negara" yang sedang dijalankan oleh Jabatan Penerangan di seluruh negara. Bagi negeri Perak, selain mengadakan ceramah, pameran, paparan,
InfoPen, penerbitan buku dan risalah, PSRNKS juga merupakan modus operandi kempen yang berkesan dan menarik minat khalayak sasar.
Konsep PSRNKS dipersembahkan dalam bentuk sketsa (drama sebabak) yang dijayakan seramai 10 orang pelajar dalam masa 20 minit dengan mengambil salah satu prinsip Rukun Negara sebagai tema dan persoalan drama.
Pertandingan bukan memilih drama atau pelakon terbaik, sebaliknya menilai keberkesanan persembahan yang mampu mengutarakan mesej / falsafah Rukun Negara secara berseni, mengesankan serta bersahaja.
Skrip sketsa disediakan sendiri oleh Kelab Setia yang mengambil bahagian tetapi tidak dinilai sebaliknya penilaian tertumpu kepada tiga aspek iaitu mesej, teknik persembahan dan komunikasi.

Piala Pusingan

Kelab Setia SMK King Edwards VII, Taiping muncul johan dengan mengondol piala pusingan, hadiah wang tunai, hadiah iringan serta sijil manakala naib johan disandang oleh Kelab Setia SMK Temenggong Kati, Kuala Kangsar. Sebanyak 7 Kelab Setia beradu nasib di peringkat akhir pertandingan yang dirasmikan oleh Puan Che Sabariah Mohd Noor, Timbalan Pengarah PENTARAMA Ibu Pejabat Penerangan, Kuala Lumpur yang mewakil Timbalan Ketua Pengarah Penerangan.
Pengarah Penerangan Perak, Hj Abdullah Mohd Ariff dalam satu kenyataan menyatakan bahawa PSRNKS akan diteruskan pada tahun 2009 sebagai salah satu aktiviti Kelab Setia yang mampu membentuk ciri-ciri kepimpinan,
teamwork serta jati diri di kalangan ahli-ahli Kelab Setia.

Selasa, 16 Disember 2008

Rafidah dahului senarai 279 penerima darjah kebesaran




KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mendahului senarai 279 penerima darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini sempena ulang tahun keputeraan Seri Paduka pada 7 Jun.

Rafidah, yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menerima darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri pada majlis istiadat penganugerahan bintang dan pingat di Balairong Seri, Istana Negara, di sini.

Lima orang menerima Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Negeri Johor, Datuk Zahri Jamil, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, Pengerusi Eksekutif ECM Libra. Datuk Kalimullah Masheerul Hassan serta dua pesara kerajaan iaitu Datuk Salim Hashim dan Datuk Othman Lebai Saad.

Supt Musa Mohd Safri menerima Kesatria Setia Diraja manakala atlet pejalan kaki negara. Yuan Yu Fang adalah antara 88 penerima Ahli Mangku Negara (AMN). Turut menerima AMN ialah Haji Zabidin Ismail, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak.

Selain itu, tiga orang menerima Johan Mangku Negara (JMN), 15 Johan Setia Mahkota (JSM), 41 Kesatria Mangku Negara (KMN) dan 125 Pingat Pangkuan Negara (PPN). BERNAMA

Sabtu, 13 Disember 2008

Majlis Perpisahan Staf Perak



Hari ini (12 Disember 2008) jam 3.00 petang berlangsung Majlis Perpisahan Cik Suriati A. Karim, Pembantu Penerangan Cwg Perancangan dan Penyelidikan di Bilik Gerakan Negeri yang dihadiri semua staf Ibu Pejabat. Majlis dipenuhi dengan ucapan perpisahan daripada Hj Zabidin Hj Ismail yang mewakili Pengarah serta Puan Nur Azrina Zainal Arif selaku Ketua Cawangan. Turut hadir ialah Cik Nurul Azirah, Penolong Pengarah Cwg Khidmat Pengurusan dan Kewangan (KPK) .Cik Suriati akan berpindah ke Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 15 Disember 2008 setelah berkhidmat dengan Jabatan Penerangan Perak selama setahun empat bulan. Selain ucapan daripada Cik Suriati, majlis diserikan dengan penyampaian cenderamata, kemudian diikuti dendangan lagu "bertemu dan berpisah" sambil hadirin menjamu selera. Majlis diakhiri dengan bergambar ramai sebagai tanda kenang-kenangan. Meskipun hadirin kelihatan bergembira, namun sebak membungkus kalbu setengah daripada mereka.

Khamis, 11 Disember 2008

PERAGA "INFOPEN" DI R&R TAPAH, ARAH UTARA

Peraga “InfoPen” Jabatan Penerangan Negeri Perak telah siap dipasang pada 3 November 2008 di Hentian Rehat dan Rawat ( R&R Tapah, arah utara, Projek Lebuhraya Utara Selatan,PLUS). InfoPen ini berfungsi sebagai media publisiti luaran bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat dan memperkenalkan kempen serta dasar semasa kerajaan. Para pengunjung hentian ini berpeluang mendapatkan maklumat kerajaan menerusi InfoPen tersebut. Ia terletak berhampiran suaru dan berada di sisi laluan ke rest room R&R berkenaan. Silalah menonton dan membaca kandungannya.

Related Posts with Thumbnails