Sahabat JapenPk

Isnin, 22 Jun 2009

SMK Buyong Adil juara sketsa Rukun Negara Kelab Setia Negeri Perak


NADZRI Ismail (dua dari kiri) menyampaikan piala pusingan kepada guru SMK Buyong Adil, Batang Padang dan pasukannya selepas muncul Johan pertandingan Sketsa Rukun Negara peringkat negeri Perak 2009 di Ipoh, semalam.


IPOH 21 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buyong Adil dari daerah Batang Padang menewaskan enam sekolah lain untuk menjuarai Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Setia Negeri Perak 2009 di sini semalam.

Dalam pertandingan di Dewan Serbaguna Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) di sini, SMK Buyong Adil mempertaruhkan persembahan bertajuk 'Sesal Dahulu Pendapatan Kemudian' dengan berteraskan Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Persembahan bertenaga serta mesej jelas daripada peserta sekolah tersebut nyata memukau juri-juri untuk menobatkan SMK Buyong Adil sebagai johan pertandingan tahun kedua anjuran Jabatan Penerangan negeri itu.

Dengan kemenangan itu, SMK Buyong Adil membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta piala iringan, sijil serta cenderamata.

Tempat kedua disandang SMK King Edward Tujuh dari daerah Taiping manakala SMK Sultan Idris Shah II dari Hulu Perak di tempat ketiga.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM700 dan RM500 beserta sijil dan cenderamata.

SMK Muzaffar Shah (Kerian), SMK Air Kuning (Batang Padang), SMK Seri Kampar (Kinta) dan SMK Muhibbah (Sungai Siput) pula sekadar mendapat hadiah sagu hati.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Nadzri Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi.

Pada majlis itu, Nadzri mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Kelab Setia bagi aktiviti pelajar.

Dalam ucapannya, Nadzri berkata, pertandingan seumpama itu mampu membentuk minda dan jati diri pelajar untuk menjadi pemimpin pada masa depan.

"Jangan rasa sia-sia menyertai pertandingan ini kerana ia memberikan kesan besar pada diri dan negara pada masa depan.

"Dengan menyertai pertandingan ini, ia dapat membentuk minda pelajar yang patriotik serta keberanian diri," katanya.

Jumaat, 12 Jun 2009

Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Setia Peringkat Negeri Perak ke-2 2009


Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Setia Peringkat Negeri Perak bagi kali ke-2 anjuran Jabatan Penerangan Perak dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perak akan berlangsung pada 20 Jun 2009 di Dewan Serbaguna SUK Negeri Perak mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Sebanyak 13 Kelab Setia seluruh Negeri Perak akan menyertai pertandingan tersebut bagi merebut sebuah piala pusingan berusia lebih setahun. Penyertaan kali ini sungguh memberangsangkan. Sambutan Kelab Setia terhadap program amat menggalakkan. Mereka sanggup mengadakan latihan berkumpulan semata-mata untuk memenangi piala pusingan yang berprestij itu.

Penyertaan diwajibkan mengolah cerita bertemakan salah satu prinsip Rukun Negara dalam skrip drama pentas sebabak sekitar 20 minit. Persembahan sketsa hendaklah dijayakan oleh ahli-ahli Kelab Setia seramai 10 orang yang perlu mempamerkan semangat kerja berpasukan serta mewujudkan setia kawan yang tinggi di kalangan peserta. Pihak penganjur tidak membekalkan apa-apa bantuan sama ada material, nasihat serta tunjuk ajar melainkan daripada pihak sekolah dan guru penyelaras. Mereka dikesan menggunakan kreativiti sendiri dalam mengolah cerita, penyediaan prop serta sesi latihan.

Hal ini telah membentuk sikap para peserta untuk berdikari serta menyedari hakikat bahawa di dalam dunia yang fana ini tidak ada suatupun yang boleh diperolehi secara percuma melainkan dengan curahan keringat dan minat yang sungguh-sungguh.
Melalui pertandingan ini ahli-ahli Kelab Setia didedahkan dengan kefahaman dan penghayatan yang holistik terhadap falsafah Rukun Negara dengan menerimanya secara santai, bersahaja serta simplistik.

Pada tahun 2008 Kelab Setia SMK King Edward, Taiping menjadi johan dalam pertandingan sengit dengan enam lagi Kelab Setia termasuk naib juara Kelab Setia SMK Temenggong Kati, Kuala Kangsar. Apakah King Edward Taiping masih lagi mampu menggekalkan kejuaraan itu? Atau Kelab Setia lain yang akan menonjol sebagai juara? Tarikh keramat 20 Jun akan menentukan kejuaraan ini. Sama-samalah kita beramai-ramai menyaksikannya!! Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) Jabatan Penerangan Negeri Perak mempelawa serta mengundang Kelab Setia di seluruh Negera datang ke Perak menyaksikan pertandingan sketsa Rukun Negara ini kerana ianya diadakan hanya di Perak Darul Ridzuan- negeri yang paling banyak mencipta sejarah luar biasa terutama di arena politik tanah air.

Related Posts with Thumbnails