Sahabat JapenPk

Khamis, 9 Disember 2010

Lawatan ke Medan berjaya





Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan Jabatan Penerangan Perak (KSKK) berjaya menganjurkan satu lawatan integrasi ke Medan, Prapat dan Brastagi, Sumatera Utara pada 4-7 Disember 2010. Seramai 28 orang staf dan keluarga Penerangan, LHDN, RTM dan Imigresen Perak telah menyertai lawatan ini. Antara lokasi lawatan ialah Permatang Siantar, Prapat, Danau Toba, Pulau Somasir, Kg Ambarita, Kg. Tomok, Tjg Pura (Langkat), Brastagi, Sipiso-piso dan Medan.
YDP KSKK, Hj Zabidin Hj Ismail memaklumkan bahawa pada tahun 2011 akan dianjurkan satu lagi lawatan ke Jakarta/ Puncak/ Bandung atau Padang/ Bukit Tinggi. Katanya, sesiapa yang berhajat untuk menyertai lawatan ini, bolehlah berunding dengan KSKK.
Menurutnya, penyertaan tidak hanya terhad kepada ahli-ahli KSKK tetapi juga dipelawa kepada staf Jabatan Kerajaan di Perak.

Jumaat, 6 Ogos 2010

Larian Bukit Bangkong 1Malaysia



Larian Bukit Bangkong 1Malaysia sempena menyambut bulan kemerdekaan negara serta kempen mengibarkan Jalur Gemilang akan diadakan pada 8 Ogos 2010 di Kg. Baru Tanah Hitam, Chemor, Perak mulai 8.30 pagi. Seramai 120 peserta akan berlari memanjat Bukit Bangkong setinggi 1150 kaki dengan membawa Jalur Gemilang serta mencari "harta karun" berupa tema Hari kebangsaan 2010 iaitu "1Malaysia Menjana Transformasi". Kebanyakan peserta berumur antara 14-35 tahun yang terdiri dari berbilang kaum termasuk wanita.
Program ini dianjurkan oleh Cawangan Geraksaraf dan Pengurusan Isu (GSPI), Jabatan Penerangan Perak, Rukun Tetangga Tanah Hitam dan Ahli Parlimen Tambun. Tujuannya untuk menyemaikan semangat cintakan negara serta penghayatan gagasan 1Malaysia.

Khamis, 3 Jun 2010

Lawatan ke Medan, Sumatera: hampir penuh!


Rancangan lawatan integrasi ke Medan, Sumatera pada 4-7 Disember 2010 anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan (KSKK) Jabatan Penerangan Perak hampir penuh cuma tinggal beberapa "seats" sahaja lagi untuk sewaan pesawat terbang terus dari Ipoh - Polonia, Medan dan sebaliknya. Sambutan luar biasa ahli menyebabkan Ketua Biro Kebajikan dan Kesenian, Tuan Saiful Tuan Ismail bercadang untuk menutup penyertaan lawatan tidak lama lagi.

KSKK sedang mengatur acara di Medan serta berhubung dan berbincang dengan pejabat Konsul Malaysia di Medan bagi melicinkan lawatan. Seramai 70 peserta yang kebanyakannya anggota Jabatan Penerangan Perak serta keluarga akan menyertai lawatan ini.

Selasa, 4 Mei 2010

Lawatan Integrasi ke Medan, Sumatera

KSKK bakal merentasi Selat Melaka

Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan (KSKK) Jabatan Penerangan Perak akan menganjurkan Lawatan Integrasi ke Medan, Sumatera pada 4 hingga 7 Disember 2010. Penyertaan lawatan terbuka kepada semua ahli KSKK dan keluarga serta terhad seramai 70 orang sahaja. Ini bermakna sesiapa yang mengesahkan penyertaan awal akan diutamakan.

Yang DiPertua KSKK, Hj Zabidin Hj Ismail berkata, tujuan lawatan ini untuk menimba pengalaman dan merasai suasana berada luar negara serta mewujudkan jaringan persahabatan dengan Jabatan Penerangan Indonesia. Di samping mengunjungi lokasi pelancongan tersohor seperti Pulau Somasir, Danau Toba, Parapat dan Brastagi, rombongan juga akan dibawa menyaksikan tinggalan dan monumen sejarah; antaranya Istana Maimon.
Lawatan julung kali ini akan berlepas dengan pesawat khas KSKK dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh jam 9.00 pagi (4.12.2010) dan kembali ke Ipoh jam 5.00 ptg (7.12.2010). Anda yang berminat silalah berhubung dengan Pengerusi Biro Kebajikan dan Kesenian, Tuan Shaiful Tuan Ismail untuk mendapatkan borang penyertaan. Manakala pembayaran ansuran boleh dilunaskan kepada Bendahari, Encik Alias Mohd Yusof.

Selasa, 16 Mac 2010

Rakyat masih kurang faham konsep 1Malaysia

Jabatan Penerangan mendapati rakyat keseluruhan tahu kewujudan Gagasan 1Malaysia tetapi masih belum mencapai kefahaman penuh tentang konsepnya, kata Ketua Pengarah Penerangan Datuk Abdullah Morad di sini kelmarin.

Menurutnya kajian yang dibuat jabatan itu baru-baru ini mendapati 80 peratus daripada rakyat negara ini mengetahui berkenaan 1Malaysia namun penjelasan mereka tidak menggambarkan pemahaman penuh berkenaan intipati gagasan itu.

“Jadi tahun ini kita akan meneruskan lagi usaha untuk memberi penjelasan tentang konsep 1Malaysia dan bagaimana rakyat dari segenap lapisan masyarakat dapat menghayatinya secara lebih mendalam lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Program Sepakat Bestari Parlimen Miri anjuran Komuniti Bestari Kampung Pulau Melayu di sini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Pujut, Andy Chia, mewakili Anggota Parlimen Miri, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk merasmikan program berkenaan.

Menurut Abdullah tenaga dari Komuniti Bestari yang diwakili masyarakat di peringkat akar umbi akan digemblengkan untuk membantu jabatannya dalam melaksanakan usaha menjelaskan konsep 1Malaysia serta dasar-dasar kerajaan yang lain.

Beliau berkata peranan Komuniti Bestari amat penting dalam mengukuhkan lagi usaha Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat-maklumat kerajaan di samping menerima maklum balas dari rakyat.

Katanya apa-apa isu yang dibangkitkan oleh rakyat menerusi maklum balas yang diterima akan dianalisis untuk disampaikan ke peringkat akar umbi. -NSTImbang Penuh

Jumaat, 12 Februari 2010

Menggali pemikiran sasterawan FELDA

Oleh DR. TALIB SAMAT

Seminar membicarakan karya-karya sasterawan yang berasal dari Felda sudah dua kali diadakan. Kali pertama diadakan pada 2007 dan yang kedua pada Oktober tahun lalu yang memfokuskan sasterawan Ramli Daud.

Pada tahun ini Seminar Pemikiran Sasterawan Felda ke-3: Fokus Abu Hassan Morad, pada 2011 pula Seminar Pemikiran Sasterawan Felda ke-4: Fokus Aminah Mokhtar dan pada 2012 pula Seminar Pemikiran Sasterawan Felda ke-5: Fokus Gunawan Mahmood.

Beberapa sasterawan Felda yang lain seperti Omar Ahmad atau nama penannya Tombak Sawit banyak menghasilkan puisi. Begitu juga Allahyarham Darmin Darini dari Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor banyak menghasilkan skrip drama radio dan disiarkan di Radio Singapura.

Presiden Persatuan Karyawan Perak, Haji Zabidin Haji Ismail dalam kertas kerjanya, Ramli Daud Sasterawan Felda yang saya kenali, melontarkan beberapa cadangan bernas yang perlu diberi perhatian oleh pihak Felda.

Dalam rumusannya beliau mencadangkan pihak pengurusan Felda mengiktiraf sumbangan sasterawan Felda sama ada daripada kalangan peneroka sendiri atau anak peneroka yang sudah mendapat pengiktirafan di peringkat nasional. Caranya ialah dengan membeli dan mengedarkan buku-buku karya sasterawan Felda kepada peneroka di seluruh negara antara 100,000 hingga 150,000 buah naskhah satu judul.

Penjualan atau pengedaran 100,000 hingga 150,000 buah buku atau karya terbaik seseorang sasterawan Felda itu perlu dibuat dengan cara yang terancang dan serius.

Menurut Haji Zabidin, dengan cara ini akan menghidupkan budaya membaca, mencintai ilmu dan menghargai perjuangan penulis yang merupakan pemikir, jurubicara masyarakat.

Beliau beliau juga mencadangkan agar pihak pengurusan Felda memberi geran penyelidikan kepada para sasterawan Felda mahupun untuk membuat sesebuah karya berupa novel, buku umum dan buku tokoh Felda atau anak-anak Felda yang berjaya. Ini boleh dijadikan motivasi kepada generasi Felda yang berikutnya.

Pihak Felda disarankan juga memberi derma cipta, makalah sastera atau hadiah penyelidikan kepada mereka untuk memastikan mereka terus berkarya dan menghasilkan karya-karya terbaru untuk tatapan khalayak.

Insentif

Haji Zabidin mencadangkan agar pihak pengurusan Felda memberi insentif dan kemudahan seperti yang dimiliki oleh Sasterawan Negara misalnya kemudahan perubatan kelas pertama, pembelian buku-buku dengan jumlah yang besar untuk diedarkan secara percuma ke seluruh sekolah-sekolah khususnya di tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Hal ini cukup penting untuk mereka mengenali sumbangan besar sasterawan Felda, karya-karya dan intipati pemikirannya yang selama ini tidak dipedulikan atau diabaikan.

Beliau menekankan, jika selama ini Felda melabur berjuta ringgit untuk membuat filem Bilut, drama-drama bersiri tentang Felda atau pelbagai pelaburan di luar negara sudah sampai masanya pihak Felda mengiktiraf sumbangan sasterawan dari Felda.

Beliau berkata, pihak Persatuan Karyawan Perak akan menghantar memorandum atau hasil rumusan seminar kepada pihak Felda dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi berhubung perkara-perkara tersebut.

Ini adalah suatu yang penting untuk pembangunan kemanusiaan dan pengiktirafan golongan sasterawan dan penulis di tanah-tanah rancangan Felda.

Pada masa yang sama beliau menyarankan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima dan mengiktiraf istilah “Sasterawan Felda” yang sudah digunakan dalam dua kali seminar iaitu Seminar Pemikiran Sasterawan Felda 1: Fokus Talib Samat (7 Ogos 2007), Seminar Pemikiran Sasterawan Felda Ke-2: Fokus Ramli Daud (11 Oktober 2009).

Katanya, Persatuan Karyawan Perak, UPSI mahupun institusi lain sentiasa bersedia untuk menganjurkan Seminar Pemikiran Sasterawan Felda setiap tahun untuk memastikan karya para sasterawan Felda diperkatakan, dikupas, diangkat ke permukaan supaya masyarakat dapat menggali pemikiran mereka.

Setiap sasterawan Felda perlu diperkatakan karya-Karyanya sama ada mereka masih hidup atau sesudah meninggal dunia. Dalam suasana kerajaan begitu menghargai golongan peneroka Felda dengan pemberian bonus dan sebagainya, tetapi sasterawan atau penulis yang terdiri daripada para peneroka Felda seperti terlepas pandang.

Isnin, 8 Februari 2010

Gelaran rasmi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong


KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri hari ini mengeluarkan kenyataan mengenai gelaran rasmi yang digunakan oleh Sultan Kedah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh baginda melaksanakan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Gelaran rasmi yang digunakan ialah "Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Timbalan Yang di-Pertuan Agong".

Gelaran rasmi yang lain ialah "Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Kedah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong".

Baginda melaksanakan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong sejak 26 Januari 2010 hingga 27 Februari 2010 iaitu setelah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kembali ke tanah air dan berupaya menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong.- BERNAMA

Jumaat, 22 Januari 2010

JPA nafi COLA, ITP ditarik balik



PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan laporan yang mendakwa pembayaran elaun sara hidup (COLA) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang dinikmati penjawat awam akan ditarik balik.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam ketika dihubungi Bernama di sini berkata: "Itu semua khabar angin dan tidak benar".

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman blog dan penyebaran SMS yang mendakwa bahawa kerajaan akan menghapuskan pembayaran COLA dan ITP penjawat awam sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.

Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Omar Osman menafikan khabar angin itu dan berkata jika ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta penjawat awam.

Jumaat, 15 Januari 2010

60 Peratus Daripada 7 Juta Responden Faham Tentang 1Malaysia



KUALA LUMPUR: Kira-kira 60 peratus daripada tujuh juta responden rakyat Malaysia memahami tentang konsep Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata maklum balas itu diterima melalui pungutan suara menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini kepada kira-kira 14 juta pemilik telefon bimbit.

"Maklum balas daripada tujuh juta (pemilik telefon bimbit) baru kami terima dan setakat ini 60 peratus dapat kita perakukan faham, tetapi ada lagi sekitar enam ke tujuh juta lagi yang sedang diproses, itu akan kita maklumkan kemudian dalam satu penerangan yang lebih khusus.

"Saya kira Gagasan 1Malaysia sudah berjaya sebab kita melihat respon yang kita terima itu mempunyai fahaman yang berada di tahap atas...jadi kalau sudah faham 60 peratus lebih sedikit itu satu gambaran yang boleh saya anggap berjaya," katanya kepada pemberita selepas majlis Sepetang Bersama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan Pegawai Kanan Jabatan Penerangan di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menterinya Senator Heng Seai Kei dan ketua-ketua pengarah Jabatan Penerangan negeri. Rais berkata jabatan berkenaan juga telah melakukan tinjauan fizikal mengenai pemahaman masyarakat tentang konsep 1Malaysia.

"Sejumlah 12,212 responden telah ditemuduga dan lebih kurang 62 peratus mengatakan mereka faham dan maklum tentang maklumat dan matlamat murni Gagasan 1Malaysia.

"Jadi kedua-dua kumpulan data ini akan kita buat satu pangkalan dan kemudian kita buat satu cerakinnya supaya lebih mudah bagi kita menentukan aspek mana 1Malaysia ini yang harus kita beri penumpuan lebih daripada sekarang," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan menjadualkan segmen kedua maklumbalas SMS berkenaan bagi membolehkan responden memberikan huraian kepada jawapan yang diberikan.

"Soalannya (segmen pertama) mudah misalnya 'Fahamkah anda tentang Gagasan 1Malaysia?... ia tidak ada huraian. Mungkin mereka kurang faham tentang isiannya, itu akan kita jadualkan bagi segmen yang kedua dan bagaimana kita harus mengisi pertanyaan dalam bentuk jawapan yang lebih menjurus kepada fahaman yang lebih mendalam," katanya. Rais berkata sehubungan itu, kementeriannya akan menyusun lebih banyak program pemahaman seperti program semuka, program secara langsung di kampung, kampung baru, sekolah dan menerusi siaran-siaran televisyen yang mengandungi program-program pemahaman.

"Pengisian program-program tersebut akan meliputi penerangan dari segi perpaduan, kandungan Perlembagaan, pendekatan Rukun Negara, hak-hak asasi beragama, susunan kontrak sosial yang wujud, pembelajaran dan pelajaran yang ada," katanya.

Rais berkata Jabatan Penerangan di negeri-negeri juga akan meningkatkan program yang sudah dirancang kepada tahap pemahaman masyarakat selain meningkatkan interaksi mereka dengan kerajaan negeri dan para pemimpin.

"Penerangan yang berasaskan kepada Gagasan 1Malaysia akan diperhebat supaya intisari 1Malaysia itu tidak hanya dilihat dari segi perpaduan tetapi dari segi hak-hak yang sedia ada juga di bawah Perlembagaan Malaysia.

"Sekarang cabaran bagi jabatan ini lebih besar sebab media pilihan sudah banyak dan media baru sudah banyak...tak semudah dulu. Namun kami bersedia mengubah pendekatan acara kita, jadi dengan cara ini generasi dalam lingkungan umur 20-an ke 40-an dapat kita garap seramai mungkin," katanya. - BERNAMA

Jumaat, 1 Januari 2010

Tok Mat meninggal dunia



KUALA LUMPUR: "Saya syukur kerana dia pergi dengan mudah dan aman," kata Puan Sri Salbiah Abdul Hamid, mengenai pemergian suaminya bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat ke Rahmatullah hari ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Damansara di sini kira-kira jam 8 pagi.

Allahyarham yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Salbiah berkata, beliau menyedari suaminya tidak bernafas kira-kira jam 8 pagi ketika mahu menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suaminya.

"Selalunya, tiap-tiap pagi dalam pukul 8.40 (pagi) saya akan menutup mesin dialisis yang dipasang pada arwah, tetapi pagi tadi kira-kira pukul 8 pagi, saya tengok mesin itu 'hang' (terhenti) dan dada arwah tidak menunjukkan dia bernafas," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Salbiah berkata, melihat keadaan arwah, beliau segera menelefon doktor dan anak-anaknya bagi memaklumkan perkara itu.

"Doktor (yang datang) kemudian mengesahkan arwah telah menghembuskan nafas terakhir dalam 8 pagi tadi," katanya.

Allahyarham menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Menurut Salbiah, Allahyarham juga mengarahkan pemandu keluarganya untuk datang bekerja pagi ini bagi membawanya keluar berjalan.

"Arwah mengarahkan pemandu kami untuk datang bekerja walaupun hari ini cuti umum. Arwah meminta pemandu untuk membawa saya keluar berjalan-jalan. Macam tanda seperti dia hendak pergi," katanya.

Beliau bagaimanapun terkilan kerana tidak sempat memohon maaf daripada Allahyarham.

"Semalam beliau langsung tidak memanggil saya. Selalunya setiap malam dia akan panggil saya untuk membuang air kecil dan saya akan bawanya serta tolak mesin (dialisis) ke bilik air.

"Saya juga tak dengar apa-apa kecuali dengar arwah buka dan tutup TV. Memang dia akan tengok berita 24 jam. Agaknya dia tak rasa sakit, syukur Alhamdulilah, beliau pergi dengan aman," katanya.

Salbiah juga bersyukur kerana sebelum Allahyarham meninggal dunia, beliau sempat bertemu Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Beliau nak sangat bertemu dengan Datuk Seri Rais dan dua hari lepas arwah dapat bertemu dengannya di pejabat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan".

Salbiah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pemimpin tertinggi kerajaan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Mohamed akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar. - BERNAMA

Related Posts with Thumbnails