Sahabat JapenPk

Jumaat, 22 Januari 2010

JPA nafi COLA, ITP ditarik balik



PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan laporan yang mendakwa pembayaran elaun sara hidup (COLA) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang dinikmati penjawat awam akan ditarik balik.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam ketika dihubungi Bernama di sini berkata: "Itu semua khabar angin dan tidak benar".

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman blog dan penyebaran SMS yang mendakwa bahawa kerajaan akan menghapuskan pembayaran COLA dan ITP penjawat awam sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.

Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Omar Osman menafikan khabar angin itu dan berkata jika ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta penjawat awam.

Jumaat, 15 Januari 2010

60 Peratus Daripada 7 Juta Responden Faham Tentang 1Malaysia



KUALA LUMPUR: Kira-kira 60 peratus daripada tujuh juta responden rakyat Malaysia memahami tentang konsep Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata maklum balas itu diterima melalui pungutan suara menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini kepada kira-kira 14 juta pemilik telefon bimbit.

"Maklum balas daripada tujuh juta (pemilik telefon bimbit) baru kami terima dan setakat ini 60 peratus dapat kita perakukan faham, tetapi ada lagi sekitar enam ke tujuh juta lagi yang sedang diproses, itu akan kita maklumkan kemudian dalam satu penerangan yang lebih khusus.

"Saya kira Gagasan 1Malaysia sudah berjaya sebab kita melihat respon yang kita terima itu mempunyai fahaman yang berada di tahap atas...jadi kalau sudah faham 60 peratus lebih sedikit itu satu gambaran yang boleh saya anggap berjaya," katanya kepada pemberita selepas majlis Sepetang Bersama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan Pegawai Kanan Jabatan Penerangan di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menterinya Senator Heng Seai Kei dan ketua-ketua pengarah Jabatan Penerangan negeri. Rais berkata jabatan berkenaan juga telah melakukan tinjauan fizikal mengenai pemahaman masyarakat tentang konsep 1Malaysia.

"Sejumlah 12,212 responden telah ditemuduga dan lebih kurang 62 peratus mengatakan mereka faham dan maklum tentang maklumat dan matlamat murni Gagasan 1Malaysia.

"Jadi kedua-dua kumpulan data ini akan kita buat satu pangkalan dan kemudian kita buat satu cerakinnya supaya lebih mudah bagi kita menentukan aspek mana 1Malaysia ini yang harus kita beri penumpuan lebih daripada sekarang," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan menjadualkan segmen kedua maklumbalas SMS berkenaan bagi membolehkan responden memberikan huraian kepada jawapan yang diberikan.

"Soalannya (segmen pertama) mudah misalnya 'Fahamkah anda tentang Gagasan 1Malaysia?... ia tidak ada huraian. Mungkin mereka kurang faham tentang isiannya, itu akan kita jadualkan bagi segmen yang kedua dan bagaimana kita harus mengisi pertanyaan dalam bentuk jawapan yang lebih menjurus kepada fahaman yang lebih mendalam," katanya. Rais berkata sehubungan itu, kementeriannya akan menyusun lebih banyak program pemahaman seperti program semuka, program secara langsung di kampung, kampung baru, sekolah dan menerusi siaran-siaran televisyen yang mengandungi program-program pemahaman.

"Pengisian program-program tersebut akan meliputi penerangan dari segi perpaduan, kandungan Perlembagaan, pendekatan Rukun Negara, hak-hak asasi beragama, susunan kontrak sosial yang wujud, pembelajaran dan pelajaran yang ada," katanya.

Rais berkata Jabatan Penerangan di negeri-negeri juga akan meningkatkan program yang sudah dirancang kepada tahap pemahaman masyarakat selain meningkatkan interaksi mereka dengan kerajaan negeri dan para pemimpin.

"Penerangan yang berasaskan kepada Gagasan 1Malaysia akan diperhebat supaya intisari 1Malaysia itu tidak hanya dilihat dari segi perpaduan tetapi dari segi hak-hak yang sedia ada juga di bawah Perlembagaan Malaysia.

"Sekarang cabaran bagi jabatan ini lebih besar sebab media pilihan sudah banyak dan media baru sudah banyak...tak semudah dulu. Namun kami bersedia mengubah pendekatan acara kita, jadi dengan cara ini generasi dalam lingkungan umur 20-an ke 40-an dapat kita garap seramai mungkin," katanya. - BERNAMA

Jumaat, 1 Januari 2010

Tok Mat meninggal dunia



KUALA LUMPUR: "Saya syukur kerana dia pergi dengan mudah dan aman," kata Puan Sri Salbiah Abdul Hamid, mengenai pemergian suaminya bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat ke Rahmatullah hari ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Damansara di sini kira-kira jam 8 pagi.

Allahyarham yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Salbiah berkata, beliau menyedari suaminya tidak bernafas kira-kira jam 8 pagi ketika mahu menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suaminya.

"Selalunya, tiap-tiap pagi dalam pukul 8.40 (pagi) saya akan menutup mesin dialisis yang dipasang pada arwah, tetapi pagi tadi kira-kira pukul 8 pagi, saya tengok mesin itu 'hang' (terhenti) dan dada arwah tidak menunjukkan dia bernafas," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Salbiah berkata, melihat keadaan arwah, beliau segera menelefon doktor dan anak-anaknya bagi memaklumkan perkara itu.

"Doktor (yang datang) kemudian mengesahkan arwah telah menghembuskan nafas terakhir dalam 8 pagi tadi," katanya.

Allahyarham menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Menurut Salbiah, Allahyarham juga mengarahkan pemandu keluarganya untuk datang bekerja pagi ini bagi membawanya keluar berjalan.

"Arwah mengarahkan pemandu kami untuk datang bekerja walaupun hari ini cuti umum. Arwah meminta pemandu untuk membawa saya keluar berjalan-jalan. Macam tanda seperti dia hendak pergi," katanya.

Beliau bagaimanapun terkilan kerana tidak sempat memohon maaf daripada Allahyarham.

"Semalam beliau langsung tidak memanggil saya. Selalunya setiap malam dia akan panggil saya untuk membuang air kecil dan saya akan bawanya serta tolak mesin (dialisis) ke bilik air.

"Saya juga tak dengar apa-apa kecuali dengar arwah buka dan tutup TV. Memang dia akan tengok berita 24 jam. Agaknya dia tak rasa sakit, syukur Alhamdulilah, beliau pergi dengan aman," katanya.

Salbiah juga bersyukur kerana sebelum Allahyarham meninggal dunia, beliau sempat bertemu Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Beliau nak sangat bertemu dengan Datuk Seri Rais dan dua hari lepas arwah dapat bertemu dengannya di pejabat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan".

Salbiah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pemimpin tertinggi kerajaan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Mohamed akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar. - BERNAMA

Related Posts with Thumbnails