Sahabat JapenPk

Khamis, 17 Disember 2009

Jabatan Penerangan Giatkan Usaha Jelaskan Mengenai 1Malaysia


KUALA KLAWANG: Jabatan Penerangan akan menggiatkan lagi usaha untuk memberi penjelasan kepada rakyat berhubung konsep 1Malaysia tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdullah Morad (foto) berkata, sehingga kini beliau berpuas hati dengan usaha keras yang dijalankan jabatan itu bagi memupuk kesedaran di kalangan orang ramai mengenai konsep berkenaan.

Katanya, selepas ini pihaknya akan meningkatkan lagi usaha di peringkat pemahaman dan juga penghayatan oleh seluruh masyarakat berhubung dengan konsep 1Malaysia.

"Kami mempunyai strategi tertentu untuk mendekati masyarakat supaya penyebaran maklumat dan kefahaman ini dapat diperluas lagi di seluruh negara,"katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan beliau dan pegawai-pegawaikanan Jabatan Penerangan dengan kakitangan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan disebuah hotel di sini, hari ini.

Majlis perjumpaan itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke negeri-negeri dalam usaha memantapkan lagi perkhidmatan Jabatan Penerangan di seluruh negara selaras dengan visinya sebagai teras dan peneraju utama jentera perhubungan awam yang profesional dan berwibawa.

Abdullah dan rombongannya kemudian melawat Pejabat Penerangan Daerah Jelebu sebelum ke Komuniti Bestari (K-Bestari) di Kampung Gagu dekat ini.

Sementara itu, katanya pihaknya sedang membuat kajian untuk menambah K-Bestari yang sedia ada di seluruh negara berdasarkan kepada keperluannya. - BERNAMA

Related Posts with Thumbnails