Sahabat JapenPk

Rabu, 26 Ogos 2009

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin mercu tanda Putrajaya yang baru

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, Putrajaya. foto THE STAR oleh ROHAIZAT MD DARUS

UMAT Islam yang bekerja dan tinggal di sekitar Putrajaya kini boleh mengerjakan ibadah di masjid baru Presint 3 Putrajaya yang memaparkan seni bina yang unik kerana lebih 70 peratus daripada binaannya menggunakan keluli.

Masjid tersebut yang dinamakan sempena nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pastinya akan menjadi satu lagi mercu tanda baru di Putrajaya apabila dibuka secara rasmi September ini.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum ini digelar sebagai Majid Besi kerana pembinaanya melibatkan pengunaan sebanyak 6,000 tan keluli yang mewakili 70 peratus daripada sturuktur keseluruhan bangunan tersebut dan selebihnya adalah konkrit.

Pembinaan masjid tersebut adalah gabungan konsep seni bina traditional Islam dan kontemporari.

Dalam satu majlis simbolik khamis lepas, masjid tersebut diserahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman.

Majlis tersebut dilangsungkan di dewan utama masjid tersebut.

Jemaah mengerjakan solat tarawih di Masjid Tuanku Zainal Abidin

Samsudin berkata, pembinaan masjid yang menelan belanja RM208 juta itu siap seperti yang dijadualkan dan boleh memuatkan seramai 20,000 orang jemaah.

"Kami selalu ditanya kenapa perlu dibuat satu lagi masjid baru sedangkan Masjid Putra di Presint 1 sudah cukup besar.

"Ini kerana kami menjangkakan populasi di Core Island akan meningkat kepada 28,000 orang, oleh sebab itulah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dibina iaitu untuk menampung jumlah penduduk yang meningkat," katanya.

Menurut Wan Mohd, tahun lepas sahaja seramai 565,408 pelancong telah datang melawat Masjid Putra.

Pemandangan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada waktu malam.

"Masjid ini memang menabjubkan dan mempunyai banyak kelebihan.

"Selain boleh menampung jumlah jemaah yang ramai, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin juga boleh menjadi daya tarikan pelancong.

"Atas sebab itu saya menggesa pihak pengurusan masjid agar tidak terlalu menyekat akses orang bukan islam di kawasan masjid ini.

"Memang benar ada tempat yang orang bukan islam tidak dibenarkan masuk tetapi ada masanya kita perlulah lebih bijak dan bersifat terbuka supaya kita boleh menerangkan kepada mereka (pelancong) mengenai keindahan Islam dan juga menjawab persoalan mereka mengenai senibina Islam,' ujar beliau.

Dinding Mihrab menghiasi dewan solat utama. foto-BERNAMA

Perbelanjaan untuk pembinaan masjid tersebut merupakan peruntukkan dibawah Rancangan Malaysia ke-8 dan ia dikendalikan oleh KLCC Projek Bhd.

Dewan solat utama dihiasi dengan dinding Mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 meter yang terukir 2 baris ayat dari Surah Al-Baqarah pada bahagian kanan dan Surah Ibrahim di sebelah kiri.

Ukiran tersebut menggunakan tulisan kaligrafi dari jenis Khat Thuluth.

Laluan utama menuju ke Dewan Solat Utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Iwan Utama. foto-BERNAMA

Apa yang menarik ialah, dinding Mihrab ini tidak memantulkan kesan dari pancaran cahaya dan ini menjadikan kaligrafi ayat suci berkenaan jelas kelihatan seolah-olah terapung di udara.

Sahn merupakan kawasan solat di luar ruang solat utama dan menempatkan ruang solat terbuka serta padang.

Untuk sampai ke Sahn, jemaah perlu melalui laluan gerbang utama yang dikenali sebagai Iwan Utama yang dilatari ukiran Asma Ul Husna.

Kiblat Walk

Kelak perjalanan menuju ke masjid ini akan melalui sebuah jejantas yang menghubungkan Istana Kehakiman dan Dataran Putrajaya yang dikenali sebagai Kiblat Walk.

Jejantas tersebut akan menghadap ke arah kiblat dan dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba Alhambra di Sepanyol.

Antara kemudahan yang terdapat di masjid ini ialah ruang solat termasuk dewan utama, dewan terbuka dan dewan solat muslimat, bilik pameran, dapur, tiga unit kuaters dua tingkat tiga bilik untuk kakitangan masjid, bilik orang kenamaan, bilik penyelenggaraan, bilik jenazah, bilik kawalan audio visual dan ruang letak kereta bawah tanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails