KUALA LUMPUR: "Saya syukur kerana dia pergi dengan mudah dan aman," kata Puan Sri Salbiah Abdul Hamid, mengenai pemergian suaminya bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat ke Rahmatullah hari ini.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Damansara di sini kira-kira jam 8 pagi.
Allahyarham yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.
Salbiah berkata, beliau menyedari suaminya tidak bernafas kira-kira jam 8 pagi ketika mahu menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suaminya.
"Selalunya, tiap-tiap pagi dalam pukul 8.40 (pagi) saya akan menutup mesin dialisis yang dipasang pada arwah, tetapi pagi tadi kira-kira pukul 8 pagi, saya tengok mesin itu 'hang' (terhenti) dan dada arwah tidak menunjukkan dia bernafas," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Salbiah berkata, melihat keadaan arwah, beliau segera menelefon doktor dan anak-anaknya bagi memaklumkan perkara itu.
"Doktor (yang datang) kemudian mengesahkan arwah telah menghembuskan nafas terakhir dalam 8 pagi tadi," katanya.
Allahyarham menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.
Menurut Salbiah, Allahyarham juga mengarahkan pemandu keluarganya untuk datang bekerja pagi ini bagi membawanya keluar berjalan.
"Arwah mengarahkan pemandu kami untuk datang bekerja walaupun hari ini cuti umum. Arwah meminta pemandu untuk membawa saya keluar berjalan-jalan. Macam tanda seperti dia hendak pergi," katanya.
Beliau bagaimanapun terkilan kerana tidak sempat memohon maaf daripada Allahyarham.
"Semalam beliau langsung tidak memanggil saya. Selalunya setiap malam dia akan panggil saya untuk membuang air kecil dan saya akan bawanya serta tolak mesin (dialisis) ke bilik air.
"Saya juga tak dengar apa-apa kecuali dengar arwah buka dan tutup TV. Memang dia akan tengok berita 24 jam. Agaknya dia tak rasa sakit, syukur Alhamdulilah, beliau pergi dengan aman," katanya.
Salbiah juga bersyukur kerana sebelum Allahyarham meninggal dunia, beliau sempat bertemu Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
"Beliau nak sangat bertemu dengan Datuk Seri Rais dan dua hari lepas arwah dapat bertemu dengannya di pejabat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan".
Salbiah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pemimpin tertinggi kerajaan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Jenazah Mohamed akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan