Sahabat JapenPk

Khamis, 17 Disember 2009

Jabatan Penerangan Giatkan Usaha Jelaskan Mengenai 1Malaysia


KUALA KLAWANG: Jabatan Penerangan akan menggiatkan lagi usaha untuk memberi penjelasan kepada rakyat berhubung konsep 1Malaysia tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdullah Morad (foto) berkata, sehingga kini beliau berpuas hati dengan usaha keras yang dijalankan jabatan itu bagi memupuk kesedaran di kalangan orang ramai mengenai konsep berkenaan.

Katanya, selepas ini pihaknya akan meningkatkan lagi usaha di peringkat pemahaman dan juga penghayatan oleh seluruh masyarakat berhubung dengan konsep 1Malaysia.

"Kami mempunyai strategi tertentu untuk mendekati masyarakat supaya penyebaran maklumat dan kefahaman ini dapat diperluas lagi di seluruh negara,"katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan beliau dan pegawai-pegawaikanan Jabatan Penerangan dengan kakitangan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan disebuah hotel di sini, hari ini.

Majlis perjumpaan itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke negeri-negeri dalam usaha memantapkan lagi perkhidmatan Jabatan Penerangan di seluruh negara selaras dengan visinya sebagai teras dan peneraju utama jentera perhubungan awam yang profesional dan berwibawa.

Abdullah dan rombongannya kemudian melawat Pejabat Penerangan Daerah Jelebu sebelum ke Komuniti Bestari (K-Bestari) di Kampung Gagu dekat ini.

Sementara itu, katanya pihaknya sedang membuat kajian untuk menambah K-Bestari yang sedia ada di seluruh negara berdasarkan kepada keperluannya. - BERNAMA

Selasa, 10 November 2009

Hj Zaharin Hj Zainudin Pengarah Penerangan Perak yang baru



Pada 9 November 2009 berlangsung Majlis Penyerahan Tugas antara mantan Pengarah Penerangan Negeri Perak, Hj Abdullah Mohd Ariff dengan Hj Zaharin Hj Zainudin, yang melapor diri pada 2 November 2009 sebagai Pengarah Penerangan Negeri yang baru. Majlis diadakan di Bilik Gerakan IPN dan disaksikan pegawai dan anggota cawangan-cawangan utama di Ibu Pejabat Negeri seramai 41 orang.

Sementara itu, semua pegawai dan anggota Japen Pk mengucapkan selamat bersara pilihan kepada Hj. Abdullah Mohd Ariff pada 1 Januari 2010. Walau bagaimanapun, mulai 2 November 2009 beliau ditukarkan ke Bhg. Sumber Manusia, Ibu Pejabat, Kuala Lumpur kemudian bercuti panjang sebelum bersara.

Kepada Hj Zaharin selamat berkhidmat di negeri kelahiran yang tersohor sebagai negeri logam dan mempunyai banyak sejarah tersendiri baik dari segi politik, pendidikan, sosial, keagamaan dan memiliki kepelbagaian budaya, etnik serta dialek yang cukup menarik untuk direnungi.
Related Posts with Thumbnails