|
|
IPOH 21 Jun - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buyong Adil dari daerah Batang Padang menewaskan enam sekolah lain untuk menjuarai Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Setia Negeri Perak 2009 di sini semalam.
Dalam pertandingan di Dewan Serbaguna Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) di sini, SMK Buyong Adil mempertaruhkan persembahan bertajuk 'Sesal Dahulu Pendapatan Kemudian' dengan berteraskan Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
Persembahan bertenaga serta mesej jelas daripada peserta sekolah tersebut nyata memukau juri-juri untuk menobatkan SMK Buyong Adil sebagai johan pertandingan tahun kedua anjuran Jabatan Penerangan negeri itu.
Dengan kemenangan itu, SMK Buyong Adil membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta piala iringan, sijil serta cenderamata.
Tempat kedua disandang SMK King Edward Tujuh dari daerah Taiping manakala SMK Sultan Idris Shah II dari Hulu Perak di tempat ketiga.
Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM700 dan RM500 beserta sijil dan cenderamata.
SMK Muzaffar Shah (Kerian), SMK Air Kuning (Batang Padang), SMK Seri Kampar (Kinta) dan SMK Muhibbah (Sungai Siput) pula sekadar mendapat hadiah sagu hati.
Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Nadzri Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi.
Pada majlis itu, Nadzri mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Kelab Setia bagi aktiviti pelajar.
Dalam ucapannya, Nadzri berkata, pertandingan seumpama itu mampu membentuk minda dan jati diri pelajar untuk menjadi pemimpin pada masa depan.
"Jangan rasa sia-sia menyertai pertandingan ini kerana ia memberikan kesan besar pada diri dan negara pada masa depan.
"Dengan menyertai pertandingan ini, ia dapat membentuk minda pelajar yang patriotik serta keberanian diri," katanya.
Syabas di ucapkan kepada Kelab Setia di Negeri Perak atas penganjuran pertandingan tersebut.
BalasPadamMungkin suatu hari nanti boleh adakan program sajak atau syair rukun negara
BalasPadam